Thursday, April 10, 2014

Yaman Dan Dadah Daun Khat


Ketagihan daun Khat merupakan masalah besar Yaman - (gambar sumber Irin News)

Bukan lagi rahsia bahawa kebanyakkan orang lelaki Yaman mengalami sindrom ketagihan daun Khat di peringkat yang sangat bahaya. 

Menurut laporan hampir 80% lelaki Yaman sangat ketagih mengunyah daun yang dikategorikan sebagai dadah narkotik ini hingga ia merupakan faktor utama yang menjadikan keadaan negara Arab itu sangat teruk dari segi sosial dan ekonomi. 

Lebih memburukkan lagi keadaan Yaman, 65% penduduknya tidak mempunyai sebarang pekerjaan, manakala yang bekerja pula tidak produktif kerana hampir keseluruhan waktu bekerja mereka dibazirkan bagi menguyah khat.

Daun khat tumbuh melalui pokok Khat yang renek ditanam kebanyakkan oleh para peladang yang dibayai orang-orang kaya termasuklah ahli politik negara itu dan dianggarkan sebanyak 40% sumber air Yaman dibazirkan bagi menanam tumbuhan ini sedangkan sumber bekalan air bersih Yaman adalah sangat sedikit.  

Berdasarkan laporan berita, pakar ekonomi menganggarkan sekiranya perkara ini berterusan, Yaman akan menjadi negara pertama yang bakal mengalami krisis ketiadaan air bersih menjelang tahun 2025.

Perkara ini sangat memalukan bagi negara yang dikatakan memiliki ribuan ulama Islam dan pusat pengajian Islam yang bertaraf universiti. Ketika negara-negara lain termasuk Malaysia mengharamkan penggunaan daun ini, Yaman pula membenarkannya dari segi undang-undang.

Sekumpulan lelaki sedang menguyah daun khat  - (Sumber gambar ipsnews)

Kesan penggunaan daun khat akan menjadikan penguyahnya menjadi khayal dengan suka bercakap atau menjadi hiper aktif, tetapi menurut seorang pengembara dari Amerika Syarikat, Derek Earl, beliau melihat terdapat ramai penguyah khat Yaman boleh menghabiskan masa ketika khayal dengan berdiam diri sambil merenung dinding atau melakukan hal masing-masing. 

Penguyah khat akan kurang selera makan dan boleh menyebabkan perut sembelit.  

Antara kesan jangka panjang lain di dalam badan, ia akan menaikkan tekanan darah dan hati, penyakit kardiovaskular, kanser mulut, kemurungan, masalah mental dan lain-lain.  

Keadaan ini amat jelas dan boleh disaksikan sendiri oleh orang luar termasuklah para pelancong.

Daun khat dikategorikan sebagai dadah jenis chatione juga dikenali sebagai daun teh Arab mampu mengkhayalkan penguyahnya seperti daun ephiderin dan amphetamine.

Penduduk di sini menguyah daun khat hampir setiap masa tidak kira tempat. Mereka sering dilihat menguyah daun ini ketika di berada di mana sahaja, hingga keseluruhan rakyat Yaman dilihat seolah-olah terhenti hanya kerana ingin menguyah daun ini.

Masalah ketagihan ini turut mempengaruhi kanak-kanak Yaman yang mengikuti tabiat buruk ibu bapa mereka. 

Walaupun harga bagi satu beg penuh daun Khat berharga sekitar RM20, ia merupakan sesuatu tabiat yang mahal kerana hampir 45% penduduk Yaman merupakan miskin tegar. Menurut laporan The Daily Mail, ramai yang menjadi mangsa keganasan akibat gagal membayar hutang bagi membeli daun khat.

Yayasan Eradah Anti Khat (Eradah foundation for Qat-free nation) sangat giat membasmi masalah ketagihan Khat di Yaman, namun menurut mereka masalah yang bakal menghacurkan masa depan Yaman ini seolah-olah tidak dapat diselesaikan.

No comments :

Post a Comment

good ads!