Monday, February 10, 2014

Adakah anda suka melihat orang lain ditimpa musibah (Schadenfreude)?

Adakah anda pernah menonton video-video berjudul 'Fails Compilation' atau yang seakan dengannya di Internet kemudian ketawa terbahak-bahak bersama rakan?

Jika jawapanyya adalah YA, maka perbuatan itu mesti dihentikan kerana anda sedang menanam sifat 'schadenfreude' menjadi lebih parah.  (Sebutannya berbunyi SHA-DEN-FROI-DE)

Menurut kamus Bahasa Inggeris perkataan 'Schadenfreude' berasal dari perkataan German yang  bermaksud - keseronokan yang diperolehi hasil dari musibah yang menimpa kepada orang lain.

Ya, mungkin definisi ini amat janggal untuk kita aplikasikan pada diri sendiri sedangkan realiti sebenar kita semua mempunyai sifat schadenfreude dari masa ke semasa. 

Di era Internet ini, pengguna dapat memuaskan nafsu schadenfreude mereka dengan pelbagai cara, sebagai contoh di laman YouTube terdapat ribuan video rakaman musibah seperti kemalangan, pergaduhan, caci-maki serta banyak lagi yang memaparkan musibah pada orang lain yang mendapat rating tontonan yang tinggi atas dasar hiburan pada pengguna laman YouTube.

Tidak cukup dengan itu video-video itu dijadikan kompilasi serta ditambah efek kelakar agar penonton lebih terhibur atas musibah insan lain dan kemudiannya dikongsi di laman sosial FB dan Twitter agar menjadi 'viral' dan popular dikalangan pengguna laman sosial.

Contoh video kompilasi kemalangan yang di'like' ratusan ribu penonton
Fenomena schadenfreude dalam media sebenarnya telah wujud sebelum kewujudan Internet lagi, hanya dulu ianya terkenal di kaca TV dan kita menanti santapan humor itu dengan penayangan rancangan barat yang popular di tanah air kita seperti rancangan American Funniest Home Video dan yang sewaktu dengannya.

Kini, terdapat di antara kita yang berasa seronok, teruja dan gembira sekiranya terdapat rakan kita memuatnaikkan status beremosi di laman sosial mereka samada berkaitan masalah keluarga, kerjaya atau masalah peribadi, bahkan kita teruja dengan musibah yang melanda mereka hingga kita menjadi 'silent reader' mengikuti perkembangan musibah mereka.

Boleh jadi mereka yang berkongsi musibah di laman sosial itu sekadar ingin mendapat sokongan moral daripada rakan-rakan, namun terdapat pula mata-mata yang memerhati dengan penuh minat dan mengharap musibah itu berpanjangan.

Adakah rakan FB anda tergolong dalam kumpulan ini?

Secara logiknya, orang yang memilik sifat schadenfreude yang tinggi adalah diantara orang yang sedang bersaing antara satu sama lain seperti ahli perniagaan, ahli politik, ataupun mungkin juga para pelajar yang masing-masing ingin melihat pesaingnya gagal.

Pakar-pakar psikologi berpendapat fenomena yang menjustifikasikan schadenfreude ialah kita menganggap orang yang ditimpa musibah itu adalah orang yang lebih baik dari kita samada dari segi status peribadi, ekonomi, kerjaya, dll. terutamanya jika orang itu adalah seorang yang tidak kita sukai.

Sebagai contoh;- Acik amat benci pada Acong kerana ketampanannya. Ketika Acong ditimpa kemalangan jalan raya, Acik berasa teruja dan seronok.


Mengurangkan rasa kasihan dan menyahpeka atau 'desensitization'

Pengaruh media yang saban hari memaparkan tragedi menyayat hati tidak lagi meragut jiwa kita untuk merasa keperitan insan yang ditimpa musibah, malah sifat schadenfreude pula yang tertanam dalam jiwa kita.

Setiap foto keperitan mangsa kemalangan bahkan pengeboman pun tidak mampu meruntukan jiwa kita dari menangis akibat dari proses menyahpeka yang kita alami sejak dari kecil hasil daripada paparan media.

keperitan mereka menjadi gambar hiasan

Adakah kita tangisi kematian ini samada di mata atau di hati?

Rakyat Jepun ketika Tsunami 
Sabda Nabi Muhammad s.a.w dan realiti kita

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” 
(Hadis Riwayat Muslim) 

Scahdenfreude kurang diperbincangkan dikalangan masyarakat kita mungkin kerana sifat yang buruk ini dilihat tidak membawa masalah pada negara, ekonomi dan sosial sedangkan sifat ini sebenarnya mampu meruntuhkan institusi moral dan peribadi seseorang seterusnya mampu mejahanamkan sebuah ketamadunan!

Ini merupakan masalah jiwa yang amat serius terutamanya bagi mereka yang beragama Islam kerana sebagai orang yang mempercayai pada hari pembalasan kita tidak patut menunjukkan kegembiraan atas musibah orang lain walaupunn ianya sekadar di dalam hati lebih-lebih lagi pada ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara seinsan.  

Semoga kita mempunyai sifat rahmah dan menolak sifat schadenfreude kerana berkemungkinan  itu adalah bisikan was-was syaitan.

ZineDesk

No comments :

Post a Comment

good ads!